Yang dimaksudkan dengan hayatul khassah adalah keadaan di mana seseorang
wanita itu menjalani kehidupannya di rumahnya bersama dengan anggota
keluarganya yang lain.
Adapun cara seorang Muslimah menutupi auratnya di hadapan lelaki ajnabi
dalam kehidupan khusus seperti di rumahnya atau di dalam kenderaan
peribadi, syarak tidak menentukan bentuk/fesyen pakaian tertentu tetapi
membiarkan secara mutlak tanpa menentukannya dan cukup dengan
mencantumkan lafaz dalam firman-Nya,
“wa laa yubdiina” (“dan janganlah mereka menampakkan”) [Surah An-Nur:31]
atau sabda Nabi,
“lam yashluh an yura minha” (“tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya”) [HR Abu Dawud].
Jadi, pakaian yang menutupi seluruh auratnya kecuali wajah dan telapak
tangan dianggap sudah menutupi, walau bagaimana pun bentuknya. Tetapi ia
adalah tertakluk kepada hukum tabarruj (sila lihat perbincangan di
bawah).
Berdasarkan hal ini maka setiap bentuk dan jenis pakaian yang dapat
menutupi aurat iaitu yang tidak menampakkan aurat dianggap sebagai
penutup bagi aurat secara syar'i, tanpa melihat lagi bentuk, jenis, atau
fesyennya. Namun demikian syara' telah mensyaratkan dalam berpakaian
agar pakaian yang dikenakan dapat menutupi kulit. Jadi pakaian wajib
dapat menutupi kulit sehingga warna kulitnya tidak diketahui. Jika tidak
demikian, maka tidak dikatakan menutup aurat. Oleh kerana itu apabila
kain penutup itu tipis/transparent sehingga nampak warna kulitnya dan
dapat diketahui sama ada kulitnya berwarna merah atau coklat, maka kain
penutup seperti ini tidak boleh dijadikan penutup aurat dan haram hukum
memakainya.
