(i) Batasan aurat wanita
Aurat wanita adalah seluruh anggota tubuhnya kecuali wajah dan dua
telapak tangannya. Leher dan rambutnya adalah aurat di hadapan lelaki
ajnabi (bukan mahram) walaupun sehelai. Pendek kata, dari hujung rambut
sampai hujung kaki kecuali wajah dan dua telapak tangan adalah aurat
yang wajib ditutup. Hal ini berlandaskan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,
“Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak darinya.” [TMQ An-Nur (24):31].
Yang di maksud “wa laa yubdiina ziinatahunnaa” (janganlah mereka menampakkan perhiasannya), adalah "wa laa yubdiina mahalla ziinatahinnaa",
maksudnya janganlah mereka menampakkan tempat-tempat (anggota tubuh)
yang di situ dikenakan perhiasan. [Lihat Abu Bakar Al-Jashshash, Ahkamul
Qur`an, Juz III hal.316].
Selanjutnya, kalimah “illa maa zhahara minhaa” [kecuali yang
(biasa) nampak darinya], ini bermaksud, ada anggota tubuh yang boleh
dinampakkan iaitu wajah dan kedua telapak tangan. Demikianlah pendapat
sebahagian sahabat, seperti Ibnu Abbas, Ibnu Umar dan juga Aisyah
[Al-Albani, 2001:66].
Ibnu Jarir Ath-Thabari (wafat 310H) menjelaskan dalam kitab tafsirnya,
Jami Al-Bayan fi Tafsir Al-Qur`an Juz XVIII ms 84, mengenai apa yang di
maksud “kecuali yang (biasa) nampak darinya (illaa maa zhahara minha)”,
katanya, pendapat yang paling mendekati kebenaran adalah yang
mengatakan bahawa, yang dimaksudkan (dalam ayat di atas) adalah wajah
dan dua telapak tangan.
Pendapat yang sama dinyatakan Imam Al-Qurthubi dalam kitab tafsirnya
Al-Jamia li Ahkam Al-Qur’an, Juz XII hal. 229 [Al-Albani, 2001:50 &
57]. Jadi, apa yang biasa nampak darinya adalah wajah dan dua telapak
tangan sebab kedua anggota tubuh inilah yang biasa nampak dari kalangan
Muslimah di hadapan Nabi Sallalahu alaihi wa Sallam sedangkan
baginda mendiamkannya. Kedua anggota tubuh ini pula yang nampak dalam
ibadah-ibadah seperti haji dan solat dan biasa terlihat di masa
Rasulullah iaitu di masa masih turunnya ayat Al Qur`an [An-Nabhani,
1990:45].
Dalil lain yang menunjukkan bahawasanya seluruh tubuh wanita adalah
aurat kecuali wajah dan dua telapak tangan ialah sabda Rasulullah
kepada Asma’ binti Abu Bakar,
“Wahai Asma’ sesungguhnya seorang wanita itu apabila telah baligh
(haidh) maka tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya kecuali ini dan
ini, seraya menunjukkan wajah dan telapak tangannya.” [HR Abu Dawud]
