Yang dimaksudkan dengan hayaatul ‘am adalah keadaan di mana
wanita itu berada di luar dari kawasan rumahnya di mana mereka bercampur
dengan masyarakat. Pakaian wanita dalam kehidupan umum iaitu di luar
rumahnya terdiri dari dua jenis iaitu
(a) libas asfal (baju bawah) yang disebut dengan jilbab, dan
(b) libas ‘ala (baju atas) iaitu khimar (tudung).
Dengan dua pakaian inilah seseorang wanita itu boleh berada dalam
kehidupan umum seperti di jalanan, di pasar-pasar, pasar raya, kampus,
taman-taman, dewan orang ramai dan seumpamanya. Dalil wajib memakai
jilbab bagi wanita adalah berdasarkan firman Allah,
“Wahai Nabi! katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak
perempuanmu dan isteri-isteri orang Mukmin, ‘Hendaklah mereka
mengulurkan jilbabnya.” [TMQ Al-Ahzab (33):59].
Oleh sebab Al-Quran adalah berbahasa Arab, dan perkataan “jilbab” itu
adalah perkataan Arab, maka kita hendaklah memahami apakah yang
dimaksudkan “jilbab” di dalam bahasa Arab. Dengan kata lain, kita
hendaklah memahami dan mengikuti apakah yang orang Arab faham bila
disebut jilbab. Maka inilah pakaian yang diperintahkan oleh Allah kepada
perempuan. Di samping itu, perincian tentang pakaian ini telah pun
dijelaskan di dalam banyak hadis sahih yang wajib diikuti oleh setiap
orang.
Jadi, apakah makna jilbab itu? Selain dari melihat sendiri kepada
nas-nas hadis tentang pakaian yang dipakai Muslimah semasa zaman
Rasulullah, kita juga boleh merujuk kepada banyak kamus Arab untuk
mengetahui makna “jilbab”. Dalam kitab Al-Mu’jam Al-Wasith karya Dr.
Ibrahim Anis [Kaherah: Darul Maarif ms 128], jilbab diertikan sebagai
ats-tsaubul musytamil ala al-jasadi kullihi (pakaian yang menutupi
seluruh tubuh), atau ma fauqa ats-tsiyab kal milhafah (pakaian luar yang
dikenakan di atas pakaian rumah, seperti milhafah (seperti jubah), atau al-mula’ah asy-tamilu biha al-mar’ah (pakaian luar yang digunakan untuk menutupi seluruh tubuh wanita).
Berdasarkan pengertian ini, jelaslah bahawa yang diwajibkan ke atas
wanita adalah mengenakan pakaian yang satu (sekeping) yang lurus dari
atas hinggalah ke bawah, yakni hingga ke mata kaki. Maksud milhafah/mula’ah (Arab)
adalah pakaian yang dikenakan sebagai pakaian luar [di dalamnya masih
ada pakaian dalam (pakaian rumah) atau pakaian sehari-hari tetapi bukan
hanya coli dan seluar dalam] lalu diulurkan ke bawah hingga menutupi
kedua mata kakinya. Untuk pakaian atas, wanita disyariatkan/diwajibkan
memakai “khimar” iaitu tudung atau apa sahaja bahan/kain yang
serupa dengannya yang berfungsi menutupi seluruh kepala, leher, dan
lubang leher baju di dada.
Dalil mengenai wajibnya mengenakan pakaian bahagian atas (khimar/tudung) adalah Firman Allah,
“Hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dada mereka” [TMQ An-Nur (24):31].
Pakaian jenis ini (jilbab dan khimar) wajib dipakai oleh seorang
Muslimah (yang telah baligh) apabila hendak keluar menuju ke pasar-pasar
atau berjalan melalui jalanan umum. Setelah memakai kedua jenis pakaian
ini (jilbab dan khimar) maka barulah dibolehkan baginya keluar dari
rumahnya menuju ke kehidupan am tanpa sebarang dosa. Jika tidak, maka
dia tidak boleh (haram) keluar dari rumah kerana perintah yang
menyangkut kedua jenis pakaian ini datang dalam bentuk yang umum, dan
tetap dalam keumumannya dalam semua keadaan. Mana-mana wanita yang telah
baligh dan melanggar ketetapan Allah ini, maka berdosalah mereka dan
layak mendapat seksa Allah di akhirat nanti.
